Anda ingin memohon pembiayaan/ pinjaman perniagaan PKS? Tidak pasti mengenai kriteria kelayakan dan keperluan umum?
Panduan ini akan membantu anda memahami kelayakan dan keperluan asas pembiayaan/ pinjaman perniagaan PKS di Malaysia. Anda mempunyai peluang yang lebih baik untuk mendapatkan kelulusan permohonan pembiayaan/ pinjaman sekiranya anda mengetahui kriteria dan keperluan umum sebelum memohon.
Kelayakan dan keperluan bagi kebanyakan pembiayaan/ pinjaman perniagaan PKS di Malaysia
Kelayakan pembiayaan/ pinjaman adalah kriteria yang ditetapkan oleh bank untuk menentukan sama ada pemohon layak menerima pembiayaan/ pinjaman. Walau bagaimanapun, kelayakan dan keperluan pembiayaan/ pinjaman perniagaan PKS mungkin berbeza bergantung kepada jenis kriteria pembiayaan/ pinjaman perniagaan PKS yang ditawarkan oleh bank.
Berikut adalah kriteria kelayakan umum yang diperlukan oleh kebanyakan bank:
- Warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun dan ke atas
2. Perniagaan yang berdaftar dan/ atau berlesen di Malaysia
3. Entiti perniagaan terdiri daripada Pemilikan Tunggal/ Perkongsian/ Perkongsian Liabiliti Terhad/ Sendirian Berhad/ Individu/ Badan Profesional
4. Perniagaan sekurang-kurangnya telah beroperasi selama tiga (3) tahun
Menentukan kelayakan pembiayaan/ pinjaman perniagaan
Bank akan menilai pelbagai aspek sebelum meluluskan pembiayaan/ pinjaman perniagaan PKS. Selain daripada kriteria umum, beberapa faktor utama yang perlu diberikan perhatian adalah kredibiliti serta kestabilan kewangan anda.
- Rekod Pembayaran Balik
Semasa proses penilaian permohonan pembiayaan/ pinjaman perniagaan PKS anda, bank akan menentukan kredibiliti anda berdasarkan rekod pembayaran balik. Tabiat pembayaran balik adalah parameter penting dalam menentukan kepercayaan kredit anda. Rekod pembayaran balik yang positif adalah kriteria penting untuk membolehkan permohonan anda diterima. Oleh itu, sentiasa menjelaskan hutang yang tertunggak atau membayar pembiayaan/ pinjaman yang sedia ada tepat pada masanya untuk mengelakkan rekod yang negatif terhadap skor kredit yang boleh menjejaskan permohonan anda.
- Kestabilan Pendapatan Perniagaan
Setiap perniagaan mempunyai tahap risiko dan peluang yang berbeza. Secara amnya, kebanyakan bank lebih cenderung untuk meluluskan jumlah pembiayaan/ pinjaman yang lebih tinggi kepada perniagaan yang mempunyai rekod keuntungan yang konsisten. Kestabilan pendapatan perniagaan menunjukkan bahawa anda komited dalam perniagaan dan mempunyai keupayaan menbayar balik. Dalam kes sedemikian, berkemungkinan besar permohonan anda akan berjaya.